Showing posts with label berita harian. Show all posts
Showing posts with label berita harian. Show all posts

Tuesday, May 17, 2011

Bandar 'hilang'



JOHOR BAHRU: Beberapa bandar di negara ini yang terletak di kawasan rendah, terutama berhampiran pantai berkemungkinan ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena paras air laut yang semakin meningkat akibat pemanasan global.

Jika fenomena itu berterusan secara konsisten dan tiada langkah pencegahan dirangka dari awal, antara kawasan berisiko tinggi ditenggelami pada tahun 2020 kelak ialah Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang, Selangor dan Pekan.

Kemungkinan mengenai kejadian itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004. Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu, berkata data paras air laut yang dianalisis Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, Dr Tan Lai Wai, mendapati sejak 2004 sehingga awal tahun ini, paras air laut negara meningkat secara purata 10 sentimeter (sm) setiap tahun.


Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2011/05/18

Saturday, May 14, 2011

Perihal Orang Muda: Profesion guru bukan 'main-main'



Faktor gaji, beban kerja luntur minat

KUALA LUMPUR: Profesion perguruan yang pernah menjadi pilihan graduan atas faktor gaji dan waktu bekerja kini bukan lagi suatu tarikan kepada anak muda berikutan perubahan gaya hidup sosial mereka.

Berdasarkan maklum balas diterima daripada rakan laman sosial Facebook Berita Harian, rata-rata anak muda menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan kedua atas faktor gaji dan bebanan tugas.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata faktor subjek pembelajaran dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi (IPT) yang lebih menumpukan kepada jurusan sains gunaan dan teknikal juga menjadi punca anak muda kurang berminat berminat menjadi guru.


“Untuk menjadi seorang guru, mereka harus dididik dengan sains sosial tapi kebanyakan golongan muda kini menganggap sains sosial sebagai satu jurusan yang membosankan.

“Orientasi hendak menjadi guru perlu ada elemen sosial dan artistik yang tinggi. Tapi anak muda kini lebih berminat kepada perkara yang bersifat realistik seperti penerokaan dan penciptaan,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Dr Mohd Fadzil berkata, elemen persekitaran juga menjadi faktor utama dalam proses memilih kerjaya di mana hubungan anak muda dengan kerjaya guru dilihat terlalu pasif dan reaktif.

“Golongan muda tidak jelas mengenai kerjaya yang bakal mereka hadapi kerana tidak diterapkan secara langsung atau tidak langsung sejak alam persekolahan.
“Jika kita lihat sebagai contoh, di sekolah guru akan beritahu murid kena rajin belajar baru boleh menjadi peguam, doktor atau jurutera. Mungkin hanya 10 peratus guru yang memberi galakan supaya anak muridnya menjadi guru,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata profesion guru bukan satu kerjaya ‘main-main’ kerana kriteria paling penting ialah individu itu perlu mempunyai minat dan sikap kasih terhadap kanak-kanak.

“Kementerian akan memilih calon yang layak untuk menjadi seorang guru walaupun tidak dinafikan ramai memohon. Maka semakin banyak kerenah yang perlu dihadapi. Jika hendak tanam minat dan cinta ini tapi hati tidak ikhlas, susah juga.

“Kita perlu didik perlahan-lahan kerana tidak semestinya jika hari ini menjadi guru, hari ini perasaan cinta terhadap kerjaya itu timbul. Jika hanya kerana desakan kerjaya dan tidak boleh memupuk perasaan itu, baik usah menjadi guru,” katanya.

Artikel Dari: