Monday, November 8, 2010

Elak Kecurian Identiti: Halang - Kesan - Cegah - Lawan

Mencuri identiti adalah satu jenayah serius. Ianya berlaku apabila maklumat peribadi anda dicuri dan digunakan tanpa pengetahuan anda untuk melakukan penipuan atau jenayah lain. Kecurian identiti boleh merugikan masa dan wang anda. Ia boleh memusnahkan kredit anda dan merosakkan nama baik anda.

Halang


Halang kecurian identiti dengan menjaga maklumat anda.

. Koyakkan atau gunakan mesin pengoyak (shredder) untuk menghapuskan dokumen kewangan dan kertas-kertas yang mengandungi maklumat peribadi sebelum anda membuangkannya.

. Jangan beri maklumat melalui telefon, surat, atau internet kecuali anda tahu dengan siapa anda sedang berurusan.

. Jangan sesekali klik pada pautan dalam emel yang anda tidak minta; sebaliknya, taip alamat laman web yang anda tahu. Gunakan perisian firewall, anti-virus dan anti-spyware untuk melindungi komputer rumah anda, dan sentiasa kemas kinikan mereka.

. Jangan gunakan kata laluan yang jelas seperti tarikh lahir anda, nama ibu anda atau nombor kad pengenalan anda.

. Simpan maklumat peribadi anda di dalam tempat yang selamat di rumah, terutamanya jika anda tinggal bersama orang lain, rakan-rakan, atau ada kerja-kerja sedang dijalankan di rumah anda.

Kesan


Kesan sebarang aktiviti mencurigakan dengan sentiasa memantau akaun kewangan anda dan kenyataan bil-bil anda.

Awas terhadap tanda-tanda yang memerlukan perhatian segera:
  • Bil-bil yang tidak sampai seperti yang dijangkakan
  • Kenyataan kad kredit atau akaun yang tidak dijangkakan
  • Penafian terhadap kredit tanpa sebab yang jelas
  • Panggilan-panggilan telefon atau surat-surat pembelian yang anda tidak pernah buat
Periksa:
. Laporan kredit anda. Laporan kredit mengandungi maklumat tentang anda, termasuk apa akaun yang anda ada dan sejarah pembayaran bil anda.
. Kenyataan kewangan anda. Sentiasa periksa kenyataan bil dan akaun kewangan anda, bagi mencari caj-caj yang anda tidak pernah buat.

Pertahan


Pertahankan diri terhadap kecurian identiti sebaik sahaja anda mencurigainya.

. Letakkan satu “Penggera Penipuan” pada laporan kredit anda dan semak laporan tersebut dengan berhati-hati. Beritahu kreditor anda tentang ini. Kreditor anda akan mengikuti beberapa prosedur sebelum mereka membuka akaun atas nama anda atau melakukan perubahan kepada akaun sedia ada anda.

Minta laporan kredit anda. Cari sebarang permintaan atau permohonan dari syarikat-syarikat yang anda tidak pernah hubungi, akaun-akaun yang anda tidak pernah buka, dan hutang-hutang dalam akaun-akaun anda yang anda tidak tahu.

. Tutup akaun. Tutup sebarang akaun yang telah rosak oleh atau dibuka secara penipuan.
  • Telefon bahagian keselamatan atau jabatan penipuan bagi setiap syarikat di mana akaun telah dibuka atau diubah tanpa persetujuan anda. Ikuti dengan surat, bersama dengan salinan dokumen-dokumen yang boleh menyokong.
  • Minta pengesahan bahawa akaun yang dipertikaikan telah ditutup dan hutang-hutang palsu atau tidak sah anda telah dihapuskan.
  • Simpan salinan dokumen-dokumen dan rakamkan perbualan anda tentang kecurian tersebut.
. Failkan laporan polis. Failkan satu laporan dengan pegawai-pegawai penguatkuasaan undang-undang untuk membantu anda menghadapi kreditor-kreditor yang mungkin mahukan bukti jenayah tersebut.

Cara-cara Biasa Kecurian Identiti Dilakukan:


Pencuri identiti yang handal menggunakan pelbagai cara untuk mencuri maklumat peribadi anda, termasuklah:
  1. Menyelongkar sampah sarap. Mereka menyelongkar sampah sarap untuk mencari bil-bil atau kertas-kertas lain yang ada maklumat peribadi anda padanya.
  2. Mencedok. Mereka mencuri nombor kad kredit/debit menggunakan alat penyimpan khas ketika memproses kad anda.
  3. 'Phishing'. Mereka menyamar sebagai institusi kewangan atau syarikat-syarikat dan menghantar emel spam atau mesej pop-up bagi memerangkap anda untuk mendedahkan maklumat peribadi anda.
  4. Menukar Alamat Anda. Mereka melencongkan kenyataan-kenyataan bil anda kepada lokasi lain dengan mengisi ruangan ‘pertukaran alamat / change of address’ pada surat.
  5. ‘Gaya Lama’. Mereka mencuri dompet dan beg tangan, surat termasuklah kenyataan bank dan kad kredit; tawaran kredit pra-lulus, cek-cek baru atau maklumat cukai. Mereka mencuri rekod peribadi dari majikan, atau merasuah pekerja lain yang ada akses.

Kenali Si Penipu

Teknik-teknik di bawah akan menunjukkan bagaimana untuk mengesan sekiranya anda sedang ditipu. Teknik-teknik ini telah digunakan oleh agensi-agensi kerajaan untuk tujuan soal siasat. Ianya juga boleh digunakan dalam komunikasi dan situasi bisnes untuk mengelak dari penipuan. Ia juga boleh digunakan oleh anda untuk mengelakkan diri anda dari ditipu.

Petunjuk-petunjuk Penipuan


Untuk menggunakan petunjuk-petunjuk di bawah dengan berkesan, adalah berguna sekiranya anda mengetahui bahasa badan biasa bagi ‘suspek’ anda.
  1. Sentuhan pada wajah – Penipu atau pelakon biasanya akan menyentuh bahagian bawah muka mereka, seperti menggaru-garu hidung, menyentuh bibir atau dagu mereka. Ini adalah satu naluri semulajadi manusia, seperti mana seorang kanak-kanak menutup mereka apabila mereka menipu, hanya ia telah berkembang dengan usia kepada satu perbuatan yang tidak begitu ketara.
  2. Tapak tangan – Penipu atau pelakon selalunya cuba menyembunyikan tangan mereka. Ini juga satu tindakan semulajadi. Tangan di belakang badan atau di dalam poket adalah satu petunjuk.
  3. Pergerakan mata – Mata seseorang yang tidak jujur akan bergerak-gerak banyak ke sana ke sini bagi mengelakkan pandangan anda. Bagaimanapun, merenung mata anda terlalu lama juga adalah satu isyarat kepada satu penipuan. Ini berlaku kerana penipu atau pelakon berkenaan telah menyedari bahawa pergerakan mata mereka adalah satu isyarat penipuan dan mereka cuba mengawalnya.
  4. Pergerakan – Ekspresi diri biasanya kaku. Mereka yang menipu atau berlakon akan kurang menggerakkan tangan mereka dan menggunakan ruang yang sedikit. Semua perbuatan fizikal mereka biasanya akan menggunakan ruang yang lebih sedikit berbanding dengan keadaan biasa.
  5. Topik percakapan – Seorang penipu akan selalu menukar-nukar topik percakapan, penipu berasa selesa bertukar topik dengan harapan penipuannya telah dipercayai. Jika jujur, seseorang akan rasa pelik mengapa topik yang serius tadi telah berubah. Dia (seorang yang jujur) akan mengetepikan perubahan topik itu dan menyambung perbualan asal.
  6. Mengelak dari jawapan langsung – Penipu kadang-kadang memberikan jawapan yang boleh diputar-belit dari memberi jawapan langsung. Ini membolehkan mereka mengelak dari menipu lagi dengan tidak membuat jawapan yang berbentuk pengakuan. Dengan berbuat demikian, ia memberi mereka kemungkinan kembali kepada jawapan mereka dan mengubahnya.
  7. Anak mata – Anak mata biasanya akan membesar apabila menipu atau berlakon; ini kerana tindak balas badan yang membebaskan hormone adrenalin semasa keadaan menipu. Perkara ini bergantung kepada tahap penipuan yang dibuat. Penipuan yang kecil atau helah kecil tidak akan memberi kesan ini.
  8. Ekspresi diri – Ekspresi diri hanya terhad kepada bahagian mulut sahaja, contohnya, jika seorang penipu cuba senyum, dia hanya akan menggunakan otot-otot tertentu berbanding senyuman semulajadi yang menggunakan otot-otot dari seluruh wajah.
  9. Penggunaan objek – Penipu akan bermain-main dengan barang milik mereka seperti beg tangan, gelang tangan, telefon bimbit atau rambut mereka sendiri. Mereka juga akan meletakkan objek penghalang antara diri mereka dan orang yang bercakap dengan mereka, selalunya dengan benda yang seringkas secawan kopi. Ini satu cara bawah sedar untuk cuba membenteng diri mereka untuk mengurangkan tekanan semasa menipu.
  10. Nada suara – Nada suara seorang penipu biasanya tidak konsisten dengan pergerakan atau percakapannya.
  11. Sindiran – Mereka yang tidak jujur selalu menggunakan sindiran apabila menjawab pertuduhan.
  12. Tidak masuk akal – Kata-kata penipu selalunya tidak masuk akal dan percakapan mereka jadi tunggang langgang. Ini kerana otak penipu berkenaan sedang bertungkus lumus mencari jawapan menyebabkan kata-kata mereka jadi berbelit-belit dan tunggang langgang.
  13. Cara berdiri atau duduk – Mereka yang menipu atau berlakon biasanya berasa tidak selesa berdiri atau duduk setentang dengan orang yang ditipu. Mereka mungkin mengelak dari duduk atau berdiri dengan keadaan bahu mereka (kedua-dua bahu kiri dan kanan) setentang dengan bahu anda. Sebaliknya mereka akan cuba berdiri atau duduk sedikit mengiring atau tidak setentang dengan anda.
  14. Terlalu banyak butiran – Orang yang tidak jujur akan menambahkan butiran-butiran yang tidak berkaitan kepada perbualan, sebagai satu cubaan untuk mengambil hati orang yang lawan bercakap dengannya.
  15. Bersifat defensif – Orang yang bersalah biasanya menjadi defensif pada saat pertama dituduh manakala orang yang jujur akan menjadi marah (ofensif) apabila dituduh.
Adalah penting untuk diketahui bahawa sekiranya anda hanya dapati satu petunjuk sahaja ia tidak memberi isyarat bahawa ia adalah satu penipuan. Anda perlu melihat pada beberapa petunjuk yang konsisten yang berlaku sejajar, atau kombinasi petunjuk-petunjuk yang berlaku serentak dalam satu tempoh masa yang pendek.

thanks to : mcm2.com