Sunday, November 28, 2010

NS buat persediaan awal

NAIB juara Piala Malaysia dan juara Piala FA musim ini, Negeri Sembilan merancang mengadakan enam perlawanan persahabatan menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia, dijadual bermula 15 Januari ini.
Jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan berkata, sejak latihan bermula lebih seminggu lalu, pihaknya sudah mengadakan dua perlawanan ujian bertemu pasukan Muar FA dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Paroi.

Menurutnya, perlawanan persahabatan yang dirancang penting untuk menilai tahap kecergasan pemain dan kekuatan pasukan berikutan terdapat perubahan senarai pemain musim depan.
“Kami memerlukan persiapan lebih rapi kerana menggabungkan pemain baru dan lama bagi membentuk sebuah pasukan mantap,” katanya.

Negeri Sembilan membawa masuk sekurang-kurangnya enam pemain luar iaitu Mohd Fariza Marlias dan Ahmad Aminuddin dari Perlis serta Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadly Idrus dari KL Plus yang sudah mula menjalani latihan manakala dua lagi pemain iaitu penyerang Kelantan, Hairuddin Omar dan penyerang Perlis, Mohd Fakri Shaarani belum lagi menyertai latihan.

Wan Jamak berkata, latihan agak terjejas kerana belum dapat mengumpul semua pemain dan terpaksa menggunakan sebahagian besar pemain Piala Presiden. “Apapun latihan ketika ini lebih fokus kepada meningkatkan kecergasan pemain dan latihan intensif bermula awal Disember ini,” katanya lagi.