Monday, May 2, 2011

Perumahan rakyat di utamakan – Menteri Besar

SEREMBAN ; 29 April – Kerajaan sentiasa prihatin serta berusaha meningkatkan kualiti hidup rakyat terutama bagi mereka yang tinggal diluar bandar.
Bagi menrealisasikannya, dasar perumahan Negara melalui agensi  Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dan sedang melaksanakan tanggung jawab membangunkan  ‘Rumah Mesra Rakyat’ (RMR) di seluruh Negara.
Negeri Sembilan turut mendapat peruntukkan membina ‘Rumah Mesra Rakyat’ ini dan untuk tahun 2011 ini 179 buah rumah akan disiapkan menelan belanja sekitar sebelas juta.
Di Dewan Besar, Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan telah menyempurnakan ‘Majlis Penyerahan Inden Kerja Kontraktor Rumah Mesra Rakyat (RMR) Negeri Sembilan Darul Khusus’.
Di peringkat pertama ini, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyerahkan 90 inden kerja kepada 84 kontraktor  terpilih untuk membina dan menyiapkan 90 unit rumah dengan kos keseluruhan RM5.8 juta.
Rumah-rumah ini akan didirikan di tapak tanah para penerima di daerah masing-masing hasil permohonan terdahulu yang telah diluluskan.
Menteri Besar menjelaskan rumah-rumah yang dibina oleh SPNB adalah untuk rakyat yang tidak mampu membeli rumah dari pihak swasta serta tidak berorentasikan keuntungan kerana ianya lebih kepada tanggung jawab sosial kerajaan kepada rakyatnya.
Konsep ini sama seperti yang telah di laksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan, di mana ‘Perumahan Awam Harga Rendah (PAHR)’ bertujuan membantu rakyat termiskin memiliki rumah disamping meringankan beban mereka dalam bayaran bulanan yang rendah.
Menjadi dasar Kerajaan Barisan Nasional dan Negeri Sembilan khasnya, menjadikan dasar perumahan rakyat ini agenda utama berteraskan kesejahteraan semua masyarakat.
Menteri Besar turut mengingatkan para kontraktor supaya melaksanakan amanah yang telah diberi sebaiknya kerana sebagai ‘rakan kerja SPNB’ hasil kerja yang berkualiti serta siap pada waktu yang ditetapkan mesti diberi perhatian bagi memastikan akan mendapat kontrak seterusnya.
Di sidang media, Menteri Besar berharap para penerima ‘Rumah Mesra Rakyat’ ini menduduki rumah milik mereka ini dan menganggapnya sebagai hadiah daripada kerajaan serta tidak sesekali menyewakan rumah tersebut kepada pihak lain.
Dengan 4160 permohonan yang diterima , Menteri Besar berharap mereka yang belum berjaya bersabar kerana pihak SPNB juga memerlukan sumber kewangan  bagi tujuan pembinaan rumah ini serta yakin kerajaan akan sentiasa memberikan bantuan modal dari semasa ke semasa,
Hadir sama, Dato’ Hasim Rusdi, Exco Pembangunan Luar Bandar,Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam dan Datuk Ir. Hj. Idris Hj. Haron, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad.