Saturday, December 25, 2010

'Kekalahan 1-5 sudah dilupakan'



SKUAD negara berazam untuk menebus kekalahan 1-5 kepada Indonesia pada aksi peringkat kumpulan di Gelora Bung Karno, Jakarta sebelum ini.


"KEKALAHAN 1-5 kepada Indonesia tempoh hari sudah lama berlalu. Saya takkan fikir lagi kerana ia sudah tidak bermakna lagi. Lagipun Real Madrid pun boleh kalah 0-5 kepada Barcelona.
"Kami sudah melupakannya. Final esok (hari ini) merupakan perlawanan yang berbeza dan kami tidak takut dengan kekalahan 1-5 itu. Saya yakin barisan pemain muda kami akan melaksanakan tugas dengan baik."
Demikian jelas jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal sejurus tamat sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam sebagai persiapan terakhir sebelum menentang Indonesia pada final pertama Piala AFF Suzuki 2010 malam ini.
Malaysia dibelasah 1-5 oleh Indonesia pada aksi sulung peringkat kumpulan di Jakarta pada 1 Disember lalu tetapi ketika itu, kesemua lima gol tersebut bukan kerana kehebatan Indonesia tetapi hanya kesilapan individu oleh pemain pertahanan Malaysia.
"Saya mahu pemain beraksi seperti biasa saja tetapi dengan keyakinan dan penuh optimis untuk aksi final ini. Saya hanya mahu fikir dan tumpu kepada pemain dan pasukan saya, bukannya pasukan lain," tegas Rajagobal.
Namun sesi latihan tersebut hanya disertai 21 pemain kerana penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha terpaksa pulang ke Kota Bharu untuk majlis resepsi perkahwinannya di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) malam tadi.
"Saya beri dia (Norshahrul) rehat sehari kerana ada perkara yang perlu diselesaikannya. Saya yakin ia tidak akan menganggu pasukan. Mungkin rehat ini lebih memberi ketenangan kepadanya. Dia akan kembali pagi esok (hari ini)," jelas Rajagobal.
Dalam pada itu, penyerang utama negara, Safee Sali tidak mahu terlalu memikirkan satu kad kuning yang dipegangnya ketika ini tetapi lebih memberi sepenuh fokus bagi menjaringkan gol buat Malaysia.

PARA pemain Malaysia melakukan sesi pemanas badan di Stadium Nasional Bukit Jalil petang semalam.


"Tak perlu nak main berhati-hati. Saya akan main seperti biasa dan harap tuah Bukit Jalil akan berpihak kepada saya sekali lagi seperti ketika menentang Vietnam bagi memberikan bekalan selesa ke Jakarta," kata Safee ketika ditemui selepas sesi latihan petang semalam.
Tiga pemain Malaysia iaitu Safee, Amirulhadi Zainal dan Mahalli Jasuli serta lima pemain Indonesia iaitu Cristian Gonzales, Oktovianus Maniani, Ahmad Bustomi, Muhammad Ridwan dan Hamka Hamzah perlu mengelak kad kuning agar tidak kempunan beraksi pada final kedua di Jakarta, Rabu ini.

Bangunan bomba lakar sejarah


REMBAU - Pembinaan Pejabat Bomba Zon Port Dickson melakar sejarah baru apabila bangunan yang dibina sejak Julai 2009 dengan kos sebanyak RM468,000 siap dibina sepenuhnya dalam tempoh 17 minggu dan dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan.

Wakil Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saad Mohd Hussin berkata, di negeri ini terdapat tiga zon iaitu Seremban, Sri Jempol dan Port Dickson.

Menurutnya, konsep zon itu diperkenalkan sejak 2002 dan berfungsi dalam aspek penyiasatan kebakaran juga pemeriksaan keselamatan bangunan.

“Selain itu, kewujudan zon mampu meringankan bebanan tugas ketua balai yang semakin mencabar dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bangunan Pejabat Bomba Zon Port Dickson yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Rembau.

Menurutnya, zon Port Dickson merangkumi lima balai bomba termasuk balai bomba Rembau, Tampin, Gemas, Port Dickson dan Teluk Kemang.

“Pejabat zon ini bukan sahaja melibatkan hal pentadbiran sahaja, tetapi akan terbabit dalam operasi besar yang berlaku di kawasan zon masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini.

Hadir sama, Jurutera Daerah, Zamri Md Kassim.

Menurutnya, melalui pembinaan pejabat zon itu diharap mampu melancar dan melicinkan setiap urusan pentadbiran serta operasi di bawah pengendalian dan seliaan ketua zon. 

info: sinar harian